Sunday, January 29, 2012


sambungan.............


Khadijah At-Thahirah

Ibunya berasal daripada lingkungan keluarga yang baik dan mulia. Daripada rumpun Quraisy yang terhormat, berharta serta berkedudukan. Walaupun ibunya tidak banyak bercerita perihal masa lampau tentang dirinya, dari mulut orang lain Hindun mendengar riwayat yang indah-indah.
Bukan sebarang penghormatan yang diberikan orang kepada ibunya, sehingga digelar Khadijah at-Thahirah; Khadijah sang wanita suci. Allah memelihara ibunya daripada akhlak yang keji jahiliah. Ada keresahan dan emosi membantah setiap kali bertembung dengan keruntuhan moral kaumnya.
Lalu dicari kedamaian meredakan kusut hatinya itu disamping Waraqah, sepupu ibunya yang sangat menentang agama berhala. Barangkali itulah antara sebab digelar at-Thahirah; jiwanya lebih cenderung terhadap hal-hal bersifat kepercayaan yang murni dan bersih. 
Hindun masih ingat cerita turunnya wahyu yang pertama- detik mulanya ujian dan cabaran berat yang perlu ditanggung oleh ayah tirinya. Rasanya bukan sebarangan orang boleh terus mempercayai, menerima dan mengesahkannya sebagai suatu kebenaran tanpa berkira bicara dengan keraguan terlebih dahulu.




Namun Khadijah boleh. Bahkan menjadi tunjang yang menyokong. Satu hal lagi yang tidak dapat Hindun gambarkan betapa luar biasanya semangat serta keyakinan ibunya ialah semasa ayah tirinya sering berulang alik ke sebuah gua kecil di puncak Bukit Hira’.
Acap kali juga dia ikut ke sana menghantar makanan. Bukan sekadar di kaki bukit tetapi memanjat lereng bukit berbatu tajam dan amat menyukarkan itu. Dilakukan berulang kali demi kesetiaan dan kecintaan kepada suami.
Beberapa malam menemani suami tercinta yang khusyuk dalam tafakur dan ibadahnya. Kemudian pulang semula ke rumahnya, seorang diri berjalan kaki. Bukan sekali dua Khadijah melakukan begitu. Tidak pernah berasa terbeban kerana semuanya dibuat dengan kerelaan hati dan penuh rasa tanggungjawab.
Justeru, apalah dihairankan apabila kematian si jantung hati itu meninggalkan hirisan duka yang amat berbisa dan rasa sepi yang tidak terucapkan. At-Thahirah itu sebenarnya lebih daripada seorang isteri- sahabat yang cukup prihatin, pelindung yang dapat menyelamatkan, sandaran hati yang amat memahami dan ibu yang sangat penyayang.


Allah Kirim Salam kepadanya

            Hindun berasa dia tidak patut melupai suatu lagi kisah yang sungguh menakjubkan. Memang bertuah ibunya kerana mendapat anugeah sebegitu besar. Layaklah dengan segala budi dan pengorbanan yang telah dicurahkan. Ibunya telah menerima kiriman salam daripada Allah SWT!.
            Salam itu dititipkan-Nya melalui Malaikat Jibril dan dimaklumkan oleh Rasulullah SAW. Malah salam daripada Jibril juga. Namun orang yang mulia tetaplah dengan kemuliaannnya jiwanya. Tenang sahaja mendengar berita sebesar itu. Tidak berasa pun diri dimuliakan. Yang terserlah adalah  kerendahan hatinya.
            “Sesungguhnya Allah itulah as-Salam. Salam pela ke atas Jibril dan atasmu pula salam daripada Allah berserta rahmat dan berkatnya,” jawabnya penuh takzim.
            Sepertimana yang diceritakan kepadanya, Hindun cuba mengimbau semula jalan ceritanya……..suatu hari semasa Rasulullah SAW bersuluk di Gua Hira’, Khadijah datang menghantar bekalan makanan. Kebetulan Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril.
            “ Itu Khadijah datang membawa bekas berisi makanan dam minuman. Apabila dia tiba, sampaikan salam daripada Allah dan daripadaku kepadanya,” kata Jibril memberi pesan.


            Hindun tercegat, mematikan langkah yang dihayun sambil mengelamun jauh. Tidak sedar dia sudah sampai. Tiba-tiba perasaannya jadi bercampur- baur. Imbauan dan ingatan tentang ibu yang sedari tadi berputar di dalam ingatan membuatkan dia berasa sebak.
            Hindun merenung sayu bekas cangkulan tanah di hadapannya- pusara yang masih basah. Ibu sedang berehat sementara menunggu berangkat ke syurga. 

 (Majalah Anis. Edisi 174. page38.)       

 * Annasyirah : Begitu besar pengorbanan Sayidatina Khadijah kepada Rasulullah SAW. tidak hairanlah nama Kahdijah sentiasa meniti di bibir Rasulullah SAW. Tidak dapat dicari ganti. Teringin sekali untuk berjumpa dan memeluk erat wanita hebat ini. Terlalu rindu. Semoga aku dapat menyusuri jejaknya. Ya Rabb izinkan aku.....

No comments:

Post a Comment